in ,

Aziz Sattar Selamat Dikebumikan

Jenazah seniman Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, yang meninggal dunia jam 2 pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana pada kira-kira 2.10 petang. Allahyarham sebelum itu dimandikan dan disembahyangkan di Surau Al-Amin Bandar Tun Hussien Onn, Cheras di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Pelakon filem Bujang Lapok itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi ini di Hospital KPJ Kajang akibat penyakit jantung. Suasana hiba di kalangan sanak saudara, rakan artis dan sahabat handai dapat dilihat ketika mereka melawat jenazah yang rata-rata terkejut dengan pemergiannya.

Aziz Sattar

Antara kenalan artis yang dilihat memberi penghormatan kepada Allahyarham adalah Datuk Mustafa Maarof, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Aziz Singah, AR Badul, Norlia Ghani, Datin Rosnani Jamil, Datuk M Nasir, Datuk Hattan dan Datuk Freddie Fernamdez dan beberapa artis-artis veteran yang lain.. Turut kelihatan pelakon Hans Isaac, Melissa Saila, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rosyam Nor Fizo Omar dan Aizat Amdan.

Turut pada majlis pengebumian itu ialah Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Aziz Sattar

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemergian seniman tersebut satu kehilangan besar kepada dunia perfileman negara.

Katanya, beliau mengenali secara peribadi seniman yang sezaman dengan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee itu.

“Saya berasa agak sedih kerana tiada di tanah air untuk menziarahi (jenazah Allahyarham), saya sekarang berada di Jeddah kerana menghadiri Sidang Kemuncak Media Asia 2014,”

Sementara itu, adik kepada Aziz iaitu Zaini Sattar, 87, ketika ditemui berkata, dia ada menelefon abangnya pada Isnin selepas mendapat tahu Allahyarham dimasukkan ke hospital namun arwah menghalangnya daripada datang melawat kerana memberitahu sudah sihat.

Jelas Zaini, Aziz tidak mahu menyusahkannya untuk datang dari Singapura semata-mata mahu melawatnya.

“Suaranya kedengaran ceria ketika berbual dengannya di telefon dan dia menghalang saya datang kerana memberitahu keadaannya tidak serius. Saya tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir kami dan kedatangan saya ke Kuala Lumpur hari ini untuk melihat jenazahnya.”

Pada zaman kegemilangannya, Allahyarham berlakon bersama-sama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham S. Shamsuddin, sebagai trio Bujang Lapok pada tahun 1950-an.

Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang pada Ahad lalu akibbat serangan jantung namun keadaannya dilaporkan stabil selepas ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU).

Beliau yang merupakan rakan seangkatan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berlakon berpuluh-pulah drama dan filem antaranya Nujum Pak Belalang, Siti Muslihat, Raja Laksamana Bentan, Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2.

Allahyarham juga mengarah beberapa buah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).

Atas sumbangannya dalam dunia seni, beliau dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2007.

Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.

Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat – bercerai). Hasil perkongsian hidup, beliau dikurniakan tujuh anak, 20 cucu dan 10 cicit.

Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100. Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012.

Pastinya, kematian Allahyarham pada usia 89 tahun memberi kesan kepada seluruh peminat filem Melayu kerana lakonannya bukan sahaja menjadi fenomena malah berjaya dikenang oleh setiap generasi sehingga ke hari ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Betul Ke Nad Zainal & Azwan Kombos Putus Cinta?

Peraduan Bertemu Dengan K-Pop Superstars MBLAQ