in

Astro Kuasai Sasaran Penonton Melayu

Pada 16 Julai lalu, jam 3 petang telah berlangsung Prebiu Astro Universe di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Ramai selebriti yang hadir dan juga pelanggan serta pengiklan Astro yang mengikuti program terbaru di Astro akan datang.

Mila dan Akim menyanyikan lagu tema kau & Aku, sebuah drama muzikal ala High School Musical dan Grease.

Geng Gempak Selebriti Astro yang terdiri daripada bintang AF dan pelakon drama membuka pentas dengan lagu tema mereka.

KEMUNCULAN program realiti Akademi Fantasia (AF) kira-kira tujuh tahun lalu ternyata menjadi percaturan terhebat saluran Astro apabila program tersebut nampaknya masih terus utuh dan mendapat sambutan memberangsangkan saban tahun.

Bukan saja menerusi AF, malah Astro turut tampil dengan pelbagai program realiti menarik selepas itu yang ternyata telah menjadi ‘kekuatan’ utama saluran popular ini.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, mengakui tentang perkara ini dan menurutnya, sehingga hari ini, penonton Melayu khususnya, sememangnya masih inginkan Astro terus menghasilkan program-program berkonsepkan realiti.

“Kajian yang dilakukan oleh AGB Nielsen baru-baru ini mendapati lapan buah saluran Melayu Astro terutamanya Astro Ria, Prima, Ceria dan saluran-saluran seperti Oasis, Awani, Citra dan Warna telah mendominasi jumlah penonton di kalangan penonton-penonton TV Melayu. Perkembangan ini membawa berita baik buat kami apabila mendapati sebahagian besar daripada statistik ini disumbang oleh penonton-penonton drama dan program realiti terbitan sendiri yang ditayangkan di Astro. Apapun, saya tidak nafikan, program realiti memang masih diminati ramai. Nampaknya, penonton kami terus mengharapkan Astro untuk muncul dengan program-program seperti ini. Bukan saja AF, malah program realiti lain baru yang tampil dengan konsep berbeza seperti Gugu Gaga Erra juga mendapat respon yang cukup membanggakan. Tetapi, pada masa yang sama, kami juga turut berbangga dengan sambutan ramai terhadap drama-drama hebat yang turut disiarkan di saluran-saluran popular Astro,” kata Khairul pada sidang media sempena majlis pratonton Gempak Universe, baru-baru ini.

Di antara program yang telah menjulang nama Astro kerana kejayaan tersendiri ialah program-program realiti popular seperti Akademi Fantasia musim ketujuh yang meraih lebih sejuta penonton pada setiap konsert mingguannya, Raja Lawak musim ketiga yang meraih jumlah penonton 1.3 juta pada episod akhir, Jangan Lupa Lirik musim pertama yang memungut 3.5 juta penonton dan Sehati Berdansa yang mengaut lebih dua juta penonton.

Bukan setakat program realiti, Astro juga mampu berbangga dengan kejayaan drama bersiri Mertua VS Menantu lakonan Erra Fazira dan Aqasha yang pernah ditayangkan di slot Primawara di Astro Prima apabila berjaya meraih purata 2.7 penonton pada setiap minggu.

Khairul

Secara keseluruhannya, kata Khairul, Astro terus menguasai 46 peratus daripada jumlah kediaman di Malaysia yang memiliki televisyen sehingga Jun tahun ini. Ia juga merupakan satu pencapaian buat Astro apabila pelanggannya terus berkembang, yang mana 1.6 juta penontonnya terdiri daripada kaum Melayu.

Mengambilkira ‘demand’ penonton yang semakin meningkat terhadap program-program Melayu, kata Khairul, Astro bakal menyajikan lebih banyak program baru di saluran-saluran Melayu Astro yang dijangka mampu memberi impak kepada statistik dan peningkatan jumlah penonton.

“Bilangan pelanggan semakin meningkat dan itu memberi petanda kepada kami bahawa penonton Melayu berbeza-beza, yang mana satu saluran saja nampaknya tidak mampu untuk memenuhi ‘demand’ mereka. Bermula dengan dua saluran sahaja di awal kemunculan kami, penambahan enam lagi saluran Astro sebenarnya telah berjaya memenuhi pelbagai kehendak penonton hari ini. Kami sentiasa melakukan kajian untuk mencari ruang-ruang baru yang kami mampu isikan. Kami juga mempunyai perancangan untuk mewujudkan saluran sukan dan ketika ini ia masih dalam perbincangan,” kata Khairul.

Mengulas lanjut tentang program-program baru yang bakal menemui penonton-penonton Astro kelak, ujar Khairul, antara program yang akan muncul di saluran-saluran tertentu ialah drama bersiri berkonsepkan muzikal ala-High School Musical dan Grease iaitu ‘Kau & Aku’ yang dibintangi oleh Akim AF7, Mila AF5, Aril AF7 dan beberapa bintang AF yang lain.

“Kau & Aku adalah satu projek baru daripada Astro. Ramai yang sering bertanyakan kepada kami apa nasib artis-artis AF yang mana ramai telah ‘hilang’. Jadi, kami wujudkan sebuah program seperti drama ini yang dibarisi oleh beberapa bintang AF. Sebelum ini, kami juga pernah adakan sebuah program yang dijayakan oleh artis AF iaitu Akademi. Tetapi, untuk Kau & Aku ini, kita tampilkan satu format yang lain sedikit iaitu usahasama dengan Indonesia. Kita juga turut adakan penggambaran di sana dan kemungkinan drama ini akan disiarkan selepas Hari Raya kelak,” kata Khairul.

Selain itu, beberapa drama seperti Belalang, Segunung Harapan, Cinta Sempurna, Senja Heights dan siri animasi, Mat Kacau juga akan turut menemui penonton-penonton Astro tidak lama lagi.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip: Artis Mabuk Lupa Dunia

Gambar Selebriti di Prebiu Astro Universe