in ,

Astro Kasih & Tesco Lancar Projek Bantuan Banjir

Astro dan Tesco telah mengumpulkan sumbangan lebih daripada 400 tan untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir. Usaha di bawah Projek Bantuan Banjir Astro Kasih ini telah berlangsung selama lima hari di lima buah pusat pengumpulan iaitu Tesco Extra Ara Damansara, Tesco Extra Ipoh, Tesco Extra Puchong, Tesco Extra Seremban 2 dan Tesco Extra Desa Tebrau.

Projek Bantuan Banjir Astro Kasih dianjurkan Astro menerusi cabang tanggungjawab sosial korporatnya iaitu Astro Kasih yang bekerjasama dengan Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri. Kempen ini melibatkan platform serta personaliti televisyen dan radio Astro yang sama-sama berganding bahu dalam pengumpulan dan pengagihan sumbangan serta hebahan maklumat.

Flag Off 2

Kumpulan barangan sumbangan pertama telah pun mula dihantar sejak Ahad lalu, yang dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Ketua Pegawai Operasi Astro iaitu En. Henry Tan dan Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan Tesco Malaysia, Datuk Azlam Shah Alias.

Antara bekalan makanan yang telah dikumpul termasuklah air minuman, beras, biskut, minyak masak, susu formula, susu tepung dan makanan dalam tin serta barangan lain seperti selimut, tuala, lampin pakai buang, tuala wanita, serbuk pencuci, berus dan ubat gigi, tilam, pakaian, kain sarong, sabun dan syampu.

Selain itu, Astro menyumbangkan hasil kutipan daripada undian SMS program Maharaja Lawak Mega 2014 minggu lalu serta hasil jualan filem televisyen Astro First berjudul ‘Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris’ pada 27 & 28 Disember ke Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

En. Henry Tan berkata, “Di sepanjang lima hari pengumpulan, suasana di pusat-pusat pengumpulan sangat sibuk, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya sangat prihatin atas keadaan sukar yang dialami oleh mereka yang terjejas akibat banjir yang berlaku. Astro Kasih ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada semua yang mengambil bahagian dan memberikan sumbangan. Sokongan yang kami terima amat menggalakkan dan tumpuan kini diberikan kepada penyaluran barang sumbangan agar segera sampai kepada mangsa banjir. Astro Kasih akan terus menjalankan program kemanusiaan seperti ini bagi menggalakkan semangat kesukarelawanan di kalangan kakitangan Astro khasnya serta anggota masyarakat amnya.”

Flag Off

Penyampai ERA fm, Adifashla Juraimi yang turut menyumbangkan tenaga di pusat pengumpulan berkata:

“Kita banyak melihat di media sosial terutamanya, komen-komen yang dikongsi berkenaan bencana yang melanda. Saya menyeru kepada rakyat Malaysia supaya sentiasa bersikap positif, dan alangkah baiknya kita menyalurkan tenaga seberapa ada agar dapat membantu mangsa-mangsa mengembalikan kehidupan mereka seperti sediakala. Saya sendiri pernah mengalami situasi banjir ini, dan saya sedikit sebanyak faham apa yang sedang dilalui oleh mangsa. Saya mendoakan mereka sentiasa tabah menghadapi dugaan ini.”

Penyampai SINAR fm, Abby Fana menambah:

“Melalui Projek Bantuan Banjir Astro Kasih ini, saya melihat orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama turun memberikan bantuan, walaupun bencana yang berlaku mungkin tidak memberi kesan kepada mereka secara langsung. Saya terharu dengan semangat ini. Bila kita bersatu berganding bahu, kita mampu melakukan perubahan.”

Some of the goods at Tesco Ara Damansara, the first collection point of Projek Bantuan Banjir Astro Kasih

Salih Yaccob

Tesco Extra Puchong

Feeya (SINAR fm) & Ira (ERA fm) - Tesco Extra Puchong

Abby Fana

Nabil (Astro Artist) & Wayne Phoo MY FM

Ray Era FM

some of the contributions packed

Timbalan Perdana Menteri melihat barang yang akan diagihkan bersama Ketua Pegawai Operasi Astro, En Henry Tan (kanan)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Review Hotel Euphoria Hotel Bali Indonesia

Nona 2015 Pilih Fouziah Gous Sebagai Pengacara Baru