in ,

Ashraf Muslim Bakal Kahwin di Mekah 1 Syawal

Pelakon Ashraf Muslim, 30, memilih untuk bernikah dengan tunangannya, Noor Dayana Lokman, 24, pada 30 Ogos tahun ini (1 Syawal) di Mekah. Ashraf memilih Mekah kerana mengambil contoh amalan khalifah dan sahabat Nabi Muhammad yang bernikah di sana.

Ashraf Muslim

“Dengan izin Allah, kami akan bernikah di Mekah pada 1 Syawal depan. Saya akan bertolak ke sana pada 17 Ogos ini untuk mengerjakan umrah sambil menjalani rawatan bersama-sama bakal bapa mertua saya, Lokman Abdul Hamid dan membawa rombongan umrah. Saya akan berada selama 18 hari di sana dan bakal isteri saya akan datang ke Mekah menjelang hari pernikahan kami. Selepas nikah, kami akan melakukan tawaf dan menziarahi Mekah sebelum pulang pada 2 September nanti,” kata Ashraf ketika sidang media selepas majlis pertunangannya di Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, Sabtu.

Ashraf Muslim

Ashraf tersenyum ceria di samping tunangannya.

Lokman merupakan rakan kongsi perniagaannya di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Gombak. Berbicara tentang perkahwinannya, Ashraf berhasrat menyunting bakal doktor perubatan itu kira-kira dua bulan lalu setelah berkenalan hampir dua tahun lalu.

Dayana sedang mengikuti kursus perubatan tahun keempat di Manipal University, India dan di bawah tajaan biasiswa Mara. Sekarang dia sedang membuat latihan klinikal di Manipal-Melaka Campus di Air Keroh, Melaka.

Ashraf Muslim

Hantaran buah-buahan untuk pihak perempuan.

Pelakon popular menerusi drama Ustaz Amirul ini tertarik dengan tingkah laku Dayana yang solehah, banyak bertukar idea dan pendapat tentang perubatan moden serta pandai memasak. Sementara Dayana pula mengakui bakal suaminya itu seorang yang baik dan kagum dengan perubahan diri lelaki yang digelar Abang Ashraf itu.

“Saya tahu, kami senang berjumpa memandangkan saya bekerja di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang berhampiran dengan rumah keluarganya. Bagaimanapun, kami selalu beringat untuk menjaga batas dalam hubungan ini. Sebab itu sebolehnya kami ingin segerakan perkara yang baik ini (kahwin) bagi mengelakkan timbulnya fitnah,” ujar Ashraf yang merahsiakan jumlah wang hantaran perkahwinan mereka.

Ashraf Muslim

Hantaran coklat untuk pihak lelaki.

Mereka dijangka akan melangsungkan majlis resepsi perkahwinan pada 10 September depan di Pusat Konvensyen Shah Alam. Pasangan yang menggayakan pakaian pertunangan berkonsepkan moden dan tradsional berwarna putih dan ungu rekaan Ezuwan Ismail itu turut merakamkan gambar bersama-sama di pelamin indah tajaan Azmi Osman dari Orked Bridal House.

Pihak perempuan menerima lima hantaran berupa buah-buahan, persalinan, kek, cincin dan siri junjung manakala tujuh hantaran untuk pihak lelaki iaitu kain songket, persalinan, set wangian, kek, coklat, sirih junjung dan cincin.

Majlis pertunangan Ashraf dan Dayana turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi ‘O’ di TV9 pada pukul 9.45 pagi, Sabtu.

Selepas majlis pertunangan tersebut, Ashraf turut mengadakan majlis perasmian Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah di tempat sama yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. via Mstar Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Photo Justin Bieber Concert in Malaysia

Drama Kemboja di Ladang Duka Khas Hari Ibu