in

Anuar Zain, Altimet, M.Nasir Bakal Jayakan Konsert Ria 2010

KONSERT RIA 2010
Menampilkan penyanyi terhebat Malaysia dan Indonesia
Tanda terima kasih Astro Ria kepada sokongan penonton

Tahun 2010 menyaksikan pelbagai pencapaian dan kegemilangan Astro Ria sebagai sebuah saluran hiburan nombor satu di Malaysia. Menutup tirai untuk tahun ini, Astro sekali lagi ingin memberikan penghargaan kepada penonton sebagai tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan sepanjang tahun ini dengan membawakan Konsert Ria 2010 pada hari Ahad, 19 Disember 2010 ini bermula jam 6 petang di I-City, Shah Alam.

Istimewa pada konsert ini, Astro akan menampilkan para penyanyi dari Malaysia dan Indonesia bergabung di atas satu pentas. Mereka terdiri daripada Ahmad Dhani dengan penampilan khas kumpulan T.R.I.A.D & The Lucky Laki serta penyanyi-penyanyi popular tanahair seperti Anuar Zain, M Nasir, Datuk David Arumugam, Misha Omar, Aizat, Black, MUH,Project, Pistol,Tilu, Altimet, XPDC, Saleem, AC Mizal dan One Nation Emcee. Turut membuat persembahan kelak ialah bintang Akademi Fantasia kesayangan ramai seperti Mawi, Stacy, Hafiz, Akim, Aril, Shahir dan Adira.

Showcase Anuar Zain

Anuar Zain

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Puan Azlin Reza Azmi berkata, “ Penganjuran Konsert Ria 2010 merupakan platform terbaik bagi Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) secara am dan Astro Ria khususnya sebagai tanda penghargaan kepada sokongan padu para penonton setia kami selama ini. Sokongan yang tidak berbelah bagi inilah yang menjadi inspirasi dan menambahkan semangat kami untuk terus mengorak langkah secara berterusan dalam menghidangkan program-program terbaik yang bersifat interaktif dan dekat dengan jiwa penonton.

Menerusi konsert ini juga, kami cuba mengembalikan kenangan penonton terhadap kegemilangan program-program terbaik yang diterbitkan pada tahun ini serta persembahan dari program yang menerima maklum balas yang amat positif seperti Akademi Fantasia 8, Kau Dan Aku Musim Kedua, Mari Menari, Raja Lawak, Anda Ada 60 Saat dan tidak ketinggalan Kamilah Bintang ,” jelas Azlin lagi.

Azlin turut menambah, “Kami juga merasakan bahawa inilah masa yang terbaik bagi Astro Ria untuk memperkenalkan barisan program-program terbaik yang akan ditayangkan untuk tahun depan. Ini termasuklah Astana, 1.2..3..tukar dan Serasi Bersama.

Para peminat juga perlu merebut peluang keemasan untuk bertemu dengan lebih dekat para selebriti kesayangan mereka terutamanya bintang-bintang yang pernah diundi sewaktu program-program realiti ini berlangsung. Sebaliknya bagi bintang-bintang ini, inilah masanya untuk mereka menunjukkan rasa terima kasih terhadap sokongan para-peminat selama ini. Malah mungkin ada di kalangan para peminat yang menjadikan para selebriti ini inspirasi mereka untuk berjaya”

Konsert PERCUMA yang terbuka kepada orang ramai ini akan dimulakan terlebih dahulu dengan persembahan istimewa peserta Kamilah Bintang, finalis Mari Menari, bintang-bintang Kau Dan Aku dan Nabil yang akan menguji orang ramai dalam permainan Anda Ada 60 Saat. Pelbagai permainan dan hadiah istimewa disediakan untuk dimenangi para pengunjung. Konsert ini turut dimeriahkan dengan kehadiran krew Era FM, Sinar FM, THR Gegar dan XFM yang juga merupakan radio rasmi Konsert Ria 2010.

Konsert Ria 2010 pastinya akan menutup tahun 2010 sebagai sebuah konsert yang akan diingati. Bagi mereka yang berminat untuk datang ke konsert ini bolehlah datang ke I-City, Shah Alam bermula jam 6.00 petang, 19 Disember 2010. Bagaimanapun, para peminat dinasihatkan untuk datang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan.

Aizat

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

BIO Channel Siar Bio. Beat: Sudirman Arshad

Pelancaran Album Terbaru Sofazr MAAF DARI HATI MOHD ATLAS