in

Anmum Essential Tom Tom Bak Musim Ke-3 Lebih Meriah

KEMBALI MENCERIAKAN HUJUNG MINGGU UNTUK MUSIM KELIMA

Program kanak-kanak popular, Anmum Essential Tom Tom Bak kini kembali menceriakan hujung minggu anda untuk Musim Kelima dengan pengisian yang lebih padat dan menghiburkan kini boleh ditonton menerusi saluran kanak-kanak Nombor 1 di Malaysia; Astro Ceria (611) pada setiap Ahad jam 12.00 tengah hari.

Masih mengekalkan Aznil Haji Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil sebagai pengacara, program kanak-kanak popular ini sudah pasti menjanjikan pelbagai perubahan yang pasti menambah lagi ceria kepada rancangan itu.

Menarik untuk musim terbaru ini, Anmum Essential Tom Tom Bak turut menampilkan adik Mohd Hadziq Mohd Hazem atau Hadziq yang juga merupakan pelakon utama siri Belalang di saluran sama sebagai pengacara bersama menemani Pak Nil dalam segmen Siapa Dia. Musim ini juga turut menampilkan ramai selebriti-selebriti terkenal tempatan sebagai jemputan termasuklah Dato’ Siti Nurhaliza, Sam Saheizy, Mejar Faiz, Saiful Apek, Adibah Noor, Faizal Tahir, Aizat, Anuar Zain, Hujan, Stacy, Jaclyn Victor, Adam, Black dan lain-lain lagi.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh berkata, “Setelah bersiaran sepanjang empat musim, program kanak-kanak popular Anmum Essestial Tom Tom Bak ternyata berjaya membekaskan impak dan begitu mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan peminat cilik tetapi juga orang dewasa.

Untuk musim terbaru, program ini akan terus mengupas pelbagai lagi isu-isu semasa yang secara tidak langsung cuba mencungkil pendapat dan pandangan serta menguji pengetahuan kanak-kanak yang akan berbicara tentang sesuatu perkara.

Segmen-segmen yang dipaparkan dalam rancangan Anmum Essential Tom Tom Bak ini bukan sahaja berbentuk hiburan malah mendidik kanak-kanak daripada segi pendidikan dan sebagainya. Program ini juga menjadi platform untuk kanak-kanak mempamerkan bakat nyanyian, tarian, lakonan dan sebagainya,” ujar Evon.

Program Anmum Essential Tom Tom Bak terbahagi kepada tiga segmen iaitu Segmen Siapa Dia?, Segmen Jom Borak dan Segmen Ada Bakat Ke?. Siapa Dia? menampilkan adik Hadziq yang akan menemani Pak Nil untuk mengendalikan segmen ini. Dalam segmen ini, artis jemputan yang hadir dikehendaki datang berpakaian atau berimej dengan menjiwai watak mengikut topik yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, Jehan Miskin akan muncul sebagai seorang peninju dan dan sebagainya. Penonton yang hadir juga boleh melontarkan soalan spontan kepada artis jemputan pada episod tersebut.

Dalam segmen ini juga akan mempersembahkan sedutan klip video Misi Hadziq yang menampilkan perjalanan adik Hadziq sekitar kota untuk melawat kawasan serta mengetahui apakah aktiviti-aktiviti menarik yang sedang hangat buat masa sekarang. Saksikan juga temu bual adik Hadziq bersama orang-orang yang ditemui sepanjang perjalanannya dalam klip video ini.

Segmen Jom Borak pula mengajak anda untuk berhibur dengan telatah adik-adik kecil yang petah berkata-kata bersama dengan Pak Nil. Para penonton boleh menyaksikan gelagat dan pandangan ikhlas adik-adik cilik ini yang akan berbicara tentang topik isu-isu semasa.

Manakala bagi segmen Ada Bakat Ke? akan menampilkan persembahan menarik oleh adik-adik cilik yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan juga tarian. Mereka akan menyanyikan pelbagai lagu yang berentak tradisional, rock, pop dan sebagainya. Saksikan juga lenggok dan rentak tari adik-adik yang mengasyikkan mengikut alunan irama muzik yang pelbagai termasuklah tarian shuffle. Bukan itu sahaja, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan silap mata serta mask changing atau bertukar-tukar topeng. Menariknya segmen ini ialah terdapat artis jemputan yang akan menberi kejutan kepada adik-adik ini serta terdapat band iringan yang dikenali sebagai Band Ceria yang akan mengiringi sebahagian persembahan tersebut.

Ceriakan hari minggu anda dengan menonton Anmum Essential Tom Tom Bak yang akan ke udara setiap Ahad jam 12.00 tengah hari bermula 13 Jun 2010. Selamat menonton!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Lakonan Fahrin Ahmad & Raja Farah dalam Tentangan Maut

Filem Nanny McPhee & The Big Bang Fantasi Budak Nakal