in ,

Anding AF & Safura dalam Telemovie Di Pintu Barzakh

DI PINTU BARZAKH KONGSI KISAH DILEMA KEBUMI JENAZAH INDIVIDU TUKAR JANTINA DI TV1

Dirinya dilahirkan sebagai lelaki namun pada penghujung hayatnya dia telah menukar jantina dan identiti dirinya menjadi wanita. Mungkin anda pernah mendengar kisah sebegini menerusi media elektronik mahu pun media cetak. Namun adakah anda mengetahui bagaimanakah cara pengurusan jenazah sebegini atau pun bagaimana ia disempurnakan?

Kisah pertentangan di antara baik dan jahat seorang pondan yang telah menjalani pembedahan, Lisa (nama asalnya Alias) ketika berada di dalam koma akibat cedera parah setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya dalam perjalanan untuk keluar negara atas urusan ingin berkahwin dengan lelaki idamannya, Badrol melatari drama yang bakal disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Telemovie bertajuk Di Pintu Barzakh yang dibintangi oleh pelakon Anding AF, Sahronizam Noor, Safura Yacob dan Ku Mohd Yusri Abd Rahman ini mengenengahkan kisah bermula dengan kemalangan yang berlaku pada Lisa dan Badrol, yang berlaku pada sehari sebelum Hari Raya ketika mereka hendak ke lapangan terbang bagi urusan perkahwinan di luar negara.

Insiden yang menimpa Lisa telah menggemparkan kedua ibu bapanya, Rahman dan Salmah. Mereka keliru. Apakah Lisa adalah Alias? Satu-satunya anak lelaki mereka yang telah lari meninggalkan rumah lima tahun lalu setelah satu hari Rahman membelasahnya? Doktor yang merawat Lisa pula mengesahkan Lisa telah melakukan pembedahan jantina.

Ketika Rahman dan Salmah berperang dengan kemelut untuk mempastikan sama ada anak mereka lelaki dan perempuan, Lisa yang koma pula berperang dalam diri sendiri. Alias bertegas mengatakan Lisa adalah dirinya – seorang lelaki. Manakala Lisa pula mendakwa jiwa dan perasaannya adalah perempuan. Mereka saling menyalahkan. Malah Alias sendiri sebenarnya tidak setuju apabila Lisa mengambil keputusan untuk ke Jerman untuk melakukan pembedahan jantina. Bagaimanapun atas dorongan seorang teman, Alias kalah dengan keinginan Lisa.

Alias cuba mengajak Lisa ke pangkal jalan. Namun Lisa merasakan kehadirannya sebagai lelaki telah menjadi objek cacian dan hinaan seluruh keluarganya. Alias mengimbas detik-detik Rahman membelasahnya apabila dia mencalit lipstik ke bibirnya. Bukan sahaja dibelasah, malah Rahman turut menghalau Alias kerana dianggap memalukan keluarga. Alias melarikan diri dan berkenalan dengan Hisyam (seorang pondan).

Dari situ bermulalah kehidupan Alias sebagai Lisa. Semakin hari, identiti Alias semakin hilang dan apabila Lisa berkenalan dengan Elis, seorang pondan yang telah melakukan pembedahan jantina, Lisa mula membuat keputusan nekad untuk menurut jejak Elis. Alias dan Hisyam kesal dengan sikap Lisa tetapi Lisa menempelak Alias dengan mengatakan kehadiran Alias tidak diperlukan oleh keluarga. Alang-alang menjadi anak buangan, Lisa rela melupuskan terus identiti Alias dalam kehidupannya.

Rahman tidak menduga sejauh itu Alias bertindak. Dia bukan sahaja malu dengan apa yang telah dilakukan oleh Alias, namun mula memikirkan bagaimana jika Alias meninggal dunia. Siapakah anaknya itu yang sebenarnya? Alias atau Lisa? Bagaimanakah jenazahnya akan diuruskan? Dengan cara lelaki atau perempuan? Fizikal Alias sekarang memanglah perempuan tetapi dia pasti yang Alias dilahirkan sebagai lelaki. Rahman bingung. Salmah menangis tidak sudah.

Adakah Lisa dikebumikan sebagai lelaki atau pun wanita? Saksikan kesudahannya menerusi telemovie menarik, Di Pintu Barzakh pada 4 Disember 2010 (Sabtu), jam 10.30 malam di TV1.

PIC TELEMOVIE DI PINTU BARZAKH

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

iPad WiFi 3G Malaysia Data Plan Maxis

Millionaire Matchmaker di ntv7