in

Andika Boleh Pergi Lebih Jauh – Jehan Miskin

Ilmu dan pengalaman yang ditimba melalui drama ‘Seludup’ tidak akan dipersiakan. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” pepatah Melayu ini amat sesuai digunakan untuk menggambarkan azam seorang anak muda bernama Andika yang bakatnya telah dicungkil melalui peraduan #masukdramaseludup. Siapa sangka, usahanya menghantar penyertaan dalam bentuk video kepada produksi drama 13 episod itu telah menarik perhatian Jehan Miskin sendiri yang merupakan produser, pengarah dan juga pelakon di dalam drama ‘Seludup’. Hasilnya, dia dipilih sebagai pemenang dari lebih 130 penyertaan yang lain dan telah diberi peluang untuk bersama-sama berlakon di dalam drama aksi dan cinta itu yang bakal menemui penonton pada bulan Disember ini di Astro Prima.

Andika Seludup

Berumur 25 tahun dan berasal dari Kluang, Johor, Andika lahir di dalam sebuah keluarga yang besar dan merupakan anak keenam daripada lapan orang adik beradik. “Keluarga saya bukanlah orang senang. Bapa saya bekerja sebagai buruh kasar dan ibu pula tidak bekerja. Dengan jumlah adik beradik yang ramai, kehidupan kami bolehlah dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tapi kami tidak pernah diabaikan ibu dan bapa. Mereka menjaga saya dan adik beradik yang lain mengikut kemampuan mereka. Apa yang kami kurang dari segi makanan dan keperluan, kami amat cukup dari segi kasih sayang” kata Andika jujur.

Pada umur 16 tahun, Andika yang sememangnya meminati bidang lakonan sejak kecil, telahpun mula bekerja untuk menampung kehidupan keluarga. “Kerja kampung sahaja. Apa yang saya boleh buat semua saya buat. Dapatlah sedikit sebanyak saya menolong bapa saya untuk membeli barang-barang dapur” kata Andika lagi. Namun Andika menyimpan cita-cita untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan mengubah kehidupannya. Wang yang diperolehi disimpan sedikit demi sedikit, dan pada umur 18 tahun, Andika nekad untuk membawa diri ke Kuala Lumpur.

“Saya bermula dari bawah. Permohonan untuk bekerja di restoran makanan segera KFC diterima dan di situ saya mula merasakan pengalaman sebenar hidup di kota Kuala Lumpur. Bermacam-macam perangai manusia saya perhati dan kaji. Ada yang pelik bagi saya kerana di kampung jarang sekali saya berjumpa karakter-karakter yang aneh sebagaimana warga kota. Itu bagaikan latihan tidak formal saya yang pertama dalam persediaan menceburi bidang lakonan” katanya berseloroh. Pada umur 21 tahun, Andika menemui jodoh dengan seorang gadis dari Perak dan sejak itu bekerja sebagai pembantu di gerai makan bapa mertuanya. “Hidup saya makin terurus sejak berkahwin walaupun pada usia yang sangat muda. Namun saya tidak pernah melupakan cita-cita untuk menjadi seorang pelakon. Itu tekad saya”.

Meminati lakonan pelakon-pelakon besar Malaysia seperti Roshyam Nor, Adi Putra dan Beto Khusyairi, Andika menyifatkan peluang berlakon di dalam ‘Seludup’ sebagai pengalaman paling hebat yang pernah terjadi ke atas dirinya. Ini ditambah pula dengan ilmu dan pengetahun yang dapat ditimba daripada Jehan Miskin yang dianggapnya ‘sangat mesra di luar set, namun begitu serius dan berdisiplin ketika di dalam set’.

Pernah mengambil kursus lakonan di Finas atas inisiatifnya sendiri, Andika begitu kagum dengan sokongan yang juga telah ditunjukkan oleh krew produksi ‘Seludup’ yang amat sabar dengan dirinya yang sangat hijau ketika di set. “Saya masuk lokasi dengan niat ikhlas untuk bekerja dan membuktikan kepada Jehan bahawa saya bersedia menerima cabaran. Watak saya sebagai anggota kumpulan penyeludup yang terlibat dengan aktiviti haram kegiatan penyeludupan rokok seludup, dadah dan pemerdagangan manusia itu cuma lapan minit sahaja tapi penuh dengan aksi lasak. Saya di arahkan berlari, berlawan, dihempas jatuh dan saya terima semuanya. Difikirkan semula, saya tak sangka saya mampu lakukan semua itu dan saya puas hati apabila menerima komen positif daripada Jehan dan krew-krew lain” kata Andika penuh semangat.

Jehan Miskin ketika ditemui meluahkan rasa kagumnya atas kegigihan Andika. “Dia berbakat besar dan sangat rajin. Tubuhnya kecil tetapi hatinya besar. Saya tulis watak yang istimewa untuk Andika untuk menceritakan balasan yang mungkin diterima jika ada mana-mana anak-anak muda di luar sana yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan haram. Dia berjaya membawakannya dengan penuh perasaan dan tidak mengecewakan. Saya rasa dia boleh pergi jauh di dalam bidang ini jika diberi peluang”. ‘Seludup’ juga dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat lain seperti Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Nam Ron, Raja Ilya dan Syafie Naswip.

‘Seludup’ dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn. Bhd. Ia bakal menemui penonton setiap Khamis bermula 4 Disember, 2014 pada jam 9.30 malam. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

Andika Seludup

Andika Seludup

Andika Seludup

Andika Seludup

Mengenai Mastermind Group Sdn Bhd.
Mastermind Group Sdn Bhd adalah pusat sehenti untuk penerbitan kandungan berkualiti tinggi bagi penonton tempatan dan antarabangsa. Portfolio perkhidmatannya merangkumi pengkonsepan kreatif ke penghasilan kandungan, produksi dan pasca-produksi untuk pelbagai klien bebas. Sejak 2009, Mastermind Group telah mencipta kandungan layar untuk barisan klien yang mengagumkan termasuklah Heinz, McDonalds, Kidzania, Canon, Tabung Haji, Berjaya Corporation, Korea Tourism Organization, 8TV, Asian Food Channel, Astro Malaysia, CNBC, AXN. Syarikat ini diketuai oleh seorang ikon serba boleh industri televisyen, Jehan Miskin. Untuk maklumat lanjut mengenai Mastermind Group, layari www.mastermindgroup.com.my.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelakon Wafa Abdul Kadir Bertarung Nyawa Buang Besi Di Leher

Siapa Pemenang Pencarian Penyampai Top Malaysia ERA FM?