in ,

Ana Raffali & Marhaens Jelajah Port Dickson

AKSI LASAK ANA RAFFALI & MARHAENS JELAJAH PORT DICKSON DI TV1

Penampilannya beraksi di pentas selesa berbaju kurung atau berkebaya. Berbeza dengan artis seusianya yang lebih memilih menonjolkan pakaian yang trendy dan terkini, gadis kecil molek berwajah ayu selesa disapa Ana Raffali yang semakin mendapat tempat di hati peminat industri muzik tanah air ini ternyata berjaya mencipta nama dengan suara dan gayanya yang tersendiri.

Namun menerusi program traveloque Xpresi Kembara terbitan RTM, peminat bakal menyaksikan artis remaja ini dari sisi yang berlainan apabila dia mencabar kemampuan diri muncul melakukan pelbagai aktiviti lasak untuk dikongsi sama peminat setianya.

Dua episod bersiaran pada 3 April 2010 di Eagle Ranch Resort Port Dickson dan di Permaisuri Resort Port Dickson pada 24 April 2010 (Sabtu), jam 12.31 tengah hari di TV1, pelbagai aktiviti dicuba pemilik nama penuh Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini. Malah anak jati Kuala Lumpur yang bakal menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-25 pada 4 November depan ini tidak sedikit pun menunjukan perasaan gentar mencuba aktiviti yang tidak pernah dicubanya sebelum ini.

Memilih destinasi menarik di sekitar Eagle Ranch Resort Port Dickson, Ana Raffali bersama pemuzik-pemuziknya yang ingin dikenali sebagai Marhaens menggunakan kesempatan yang ada melupakan seketika kesibukan kota dengan aktiviti termasuklah menyahut cabaran Rope Course Challange, menunggang go kart selain mengabadikan kenangan manis menginap di log cabin gaya ala-ala cowboy yang serba lengkap dan selesa.

Menyerlah dengan gaya menarik bermain gitar sewaktu menyampaikan persembahan, gadis yang turut berkebolehan menyanyi dan menggubah lagu sendiri ini turut menggunakan kesempatan yang ada menunggang kuda selain mencuba aksi flying fox.

Malah Graduan Kelas Pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Kepujian), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meminati irama muzik rock, alternatif, pop & klasik ini menerusi episod berada di Permaisuri Resort Port Dickson sempat menikmati aktiviti santai barbeku pada waktu malam di tepi pantai bersama teman-teman pemuzik yang menemaninya memeriahkan suasana.

Pencipta lagu popular Hujan Bunga di Kuala Lumpur yang semakin mencipta nama dengan single lain antaranya Mekanika, Cuba Jangan, Ketika Aku Kecil, Ingatkan Aku, Tingkap Kaca, My Darling, Ghost, Lovely Lovely Scene dan Paint Me ini turut berkesempatan melaungkan masa menyaksikan pertunjukan api dengan aksi-aksi yang mengujakan.

Ana Raffali yang menjadikan penyanyi tersohor negara, M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idola sempat naik ke rumah api di Tanjung Tuan. Begitu juga aktiviti pantai seperti banana boat dan berbasikal yang jarang sempat dilakukan kerana tuntutan kerja yang membataskan masanya untuk meluangkan masa yang panjang beriadah setelah menjadi artis.

Menarik untuk dikongsi sama peminat setia Ana Raffali menerusi episod ini kerana si kecil molek ini ‘turun padang’ ke ladang burung unta dan sempat menunggang burung unta yang ada di situ. Pastinya anda terhibur dengan aksi bersahaja dan menarik menerusi dua episod Xpresi Kembara bersama Ana Raffali pada 3 April 2010 di Eagle Ranch Resort Port Dickson dan di Permaisuri Resort Port Dickson pada 24 April 2010 (Sabtu), jam 12.31 tengah hari hanya di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dato’ Siti Nurhaliza Lancar Produk SimplySiti

Rebut Peluang Bertemu Finalis Akademi Fantasia 8