in ,

Amanda Imani Mahu Lebih Daring Lancar CEMBURU

Penyanyi berbakat besar, Amanda Imani memulakan tahun 2012 dengan langkah bergaya apabila muncul dengan single terbaru berjudul ‘Cemburu’ yang merupakan lagu duet bersama penyanyi hip hop terkenal, Malique yang turut merupakan pencipta lagu ini.

Banyak perkara yang telah dicapai serta dilakar oleh Amanda Imani dalam kerjaya seninya sepanjang 2011 termasuk pencapaian sebagai Vokal Terbaik Artis Wanita di Anugerah Planet Muzik 2011 (APM 2011) di Singapura. Akan tetapi, tahun 2012 ini bakal menjanjikan pelbagai kejutan menarik daripada penyanyi dan pemuzik muda berbakat besar ini.

Amanda Imani

Cemburu dengan apa yang diraihnya dalam masa yang singkat? Jangan… kerana gadis yang berbintang Capricorn ini memang sangat gigih serta sangat bekerja keras untuk membuktikan bakat dan kemampuannya kepada semua pencinta muzik Malaysia.

Membuka tirai kerjaya seninya pada pertengahan bulan Januari ini, Amanda Imani bakal muncul dengan single Cemburu yang menampilkan Malique sebagai pasangan duetnya. Digubah serta ditulis oleh Malique yang kini telah mencipta fenomenanya yang tersendiri dalam industri muzik selepas bersama Joe Flizzow menerusi Too Phat, single Cemburu ini telah diterbitkan oleh Amanda Imani Productions serta diedarkan Warner Music Malaysia dan bakal diputarkan di seluruh stesen radio tempatan.

Menariknya, single Cemburu ini menampilkan Amanda Imani dalam sisi yang berbeza kerana ia bukan saja berpaksikan kepada teras muzik R&B semata tetapi turut menyelitkan unsur hip hop, rapping dan turn table, namun pada waktu yang sama masih berpegang teguh dengan ciri acuan muzik yang masih memiliki unsur keMelayuan.

Apa yang pasti menerusi single Cemburu, Amanda Imani mahu membuktikan dia mampu tampil dengan muzik yang lebih edgy, lebih daring dan lebih bertenaga tetapi pada waktu yang sama, masih menyelitkan ciri-ciri femininnya.

Amanda Imani

Malah, Amanda Imani berharap dengan munculnya single Cemburu ini, ia akan dapat menonjolkan sesuatu kelainan dalam perjalanan muziknya.

“Saya harap peminat dan pendengar akan dapat menerima kelainan ini dan tidak terkejut dengan perubahan yang saya lakukan ini. Sebagai penyanyi dan pemuzik saya harus melakukan perubahan dan pada waktu yang sama mengembangkan genre muzik yang saya bawakan,” katanya.

Single Cemburu ternyata adalah permulaan untuk Amanda Imani terus mengorak langkah dalam kerjaya seninya pada tahun ini. Yang pastinya, Amanda Imani tidak akan terus diam begitu saja. Selain dari Cemburu, Amanda Imani juga mempunyai perancangan untuk muncul dengan single yang seterusnya diikuti dengan sebuah studio album pada tahun ini juga.

Bersempena dengan pelancaran single Cemburu ini, Amanda Imani akan turut membuat kejutan apabila membawakan lagu ini dengan diiringi dua penari dalam persembahannya serta tidak lagi bertemankan gitar serta piano seperti kebiasaanya. Ia sesuatu yang belum pernah dilakukan Amanda Imani sebelum ini dan harus disaksikan oleh semua yang hadir pada majlis hari ini.

Menariknya juga, Amanda Imani akan turut melancarkan logo penjenamaannya sendiri. Hasil gabungan huruf ‘A’ daripada Amanda dan ‘I’ daripada Imani, tercetuslah bentuk seekor rama-rama dengan penggunaan warna tembaga dan emas.

Simboliknya, rama-rama melambangkan kehalusan dan kelembutan tetapi mampu memberikan kejutan, berdepan segala kemungkinan serta mengatasi segala rintangan. Rama-rama juga adalah simbol keharmonian daripada melodi yang tercetus dari unsur alam semulajadi tanpa mengira batasan waktu.

Dengan adanya penjenamaan logonya sendiri, ia akan memudahkan Amanda Imani untuk mengeluarkan barangan merchandisenya sendiri.

Seiring dengan kemunculan single Cemburu ini, dapatkan juga kalendar hangat yang mengandungi 14 potret wajahnya Amanda Imani. Mengenakan solekan tajaan Shiseido untuk kesemua kalendar potret wajahnya ini, Amanda Imani juga bertuah kerana turut mendapat tajaan barang kemas daripada Rafflesia. Sekalung penghargaan buat pihak Shiseido dan Rafflesia.

Apa yang menarik, majlis pelancaran single Cemburu dan logo baru Amanda Imani ini juga turut mendapat kerjasama daripada pihak Hotel Hilton Kuala Lumpur. Manakala, solekan Amanda Imani pada majlis hari ini beserta barangan doorgift untuk semua tetamu dan pihak media pula mendapat tajaan daripada L’oreal Paris Malaysia. Amanda Imani juga turut mengenakan barang kemas Rafflesia pada majlis pelancaran ini.

Amanda Imani

Menarik Tentang Cemburu…
Cemburu adalah sebuah lagu yang bercerita tentang emosi dan perasaan seorang wanita yang sentiasa berada di dalam keadaan yang tidak tenang dan was was apabila melihat lelaki yang dicintainya sentiasa dikelilingi wanita yang cantik.

Teman lelakinya cuba menafikan hal tersebut dan memberitahu bahawa dia mungkin kelihatan agak rapat dengan semua wanita tersebut tetapi wanita tersebut lebih dulu bertakhta di hatinya. Kerana rasa cemburu yang berterusan, si wanita terus tidak percaya dan meminta teman lelaki memilih dia atau wanita lain tersebut.

Bagaimana single Cemburu terhasil?
Sebagai seorang penyanyi dan pemuzik berjiwa halus dan mempunyai impian yang cukup besar dalam bidang ini, Amanda Imani memang sudah lama menyimpan impian untuk bekerja dengan beberapa artis dan komposer ternama di negara ini. Antaranya M Nasir, Ella, Joe Flizzow, Malique dan One Nation Emcees. Malah, dia juga turut menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan penyanyi dari seberang, Agnes Monica.

“Saya memang sudah lama teringin bekerja dengan Malique. Lagipun saya adalah antara peminat besar Too Phat. Saya membesar dengan lagu-lagu mereka. Lantas, saya ambil keputusan untuk mendekati Malique pada awal tahun lepas dan meminta lagu daripadanya.

“Malique kembali dengan 3 lagu. Salah satu daripadanya adalah Cemburu. Sebaik saja mendengar lagu tersebut, saya serta-merta tertarik serta menyukainya. Saya menyukai lenggok dan feelnya. Ia mempunyai elemen muzik hip hop yang sudah lama menjadi signature Malique dan Too Phat.

“Apa yang membuatkan saya terharu, sebelum menyiapkan komposisi lagu Cemburu tersebut, Malique terlebih dahulu telah membuat kajian tentang siapa diri saya, bentuk vokal saya dan bagaimana muzik yang saya bawakan.

“Bekerja dengannya pula adalah satu pengalaman yang menarik. Dia seorang yang unik dan kreatif. Malah, apa yang boleh saya katakan juga, dia adalah seorang karyawan muzik yang cukup luar biasa. Tetapi, satu perkara yang saya suka, dia mahu terima segala idea dan pendapat daripada saya,” kata Amanda Imani.
Pengalaman merakamkan lagu Cemburu?

Lagu Cemburu telah dirakamkan dalam masa sehari di Studio Platinum dan ia begitu mencabar kemampuan vokal Amanda Imani.

“Berbeza dengan lagu-lagu yang pernah saya bawakan sebelum ini, Cemburu memerlukan saya menguasai notasi lagu yang tinggi dan rendah dengan penuh maksimum. Ia cukup mencabar tetapi pada masa yang sama menyeronokkan.

“Dalam waktu yang sama saya perlu melakukan 10 lapisan vokal latar untuk lagu ini. Ia paling banyak yang pernah saya lakukan. Sebelum ini, saya hanya lakukan satu lapisan vokal latar sahaja,” kata Amanda Imani.

Dari sudut melodi,gubahan muzik serta susunan muziknya, ia mempunyai perbezaan yang ketara dengan lagu-lagu yang pernah dibawakan Amanda Imani sebelum ini.
“Ia sebuah lagu yang agak fast dan banyak menggunakan gitar elektrik serta turntable daripada DJ Jocular. Jadi, beatnya agak berbeza. Tapi, waktu pertama kali dengar saya sudah menyukainya dan saya juga yakin saya mampu membawakannya,” kata Amanda Imani lagi.

Apa kata Malique selaku produser, komposer, penulis lirik dan artis duet?

“Saya rasa seronok apabila berpeluang bekerja dengan penyanyi yang berbabat seperti Amanda Imani. Harapan saya, lagu ini akan dapat membantu Amanda untuk berada di tahap yang lebih tinggi serta memperolehi penghormatan yang dia sepatutnya dapat”.

Budiey harap semoga single Cemburu dari Amanda Imani ini mendapat sambutan dari peminat seni suara tanahair ya.

Amanda Imani

Amanda Imani

Amanda Imani

Amanda Imani

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Impiana KLCC Hotel Is Ready To Usher

Samsung & Google Introduce GALAXY Nexus