in ,

Alyah Perform di Konsert Maestro Dato’ Johari Salleh

Pada usia 75 tahun, figura yang satu ini masih mampu memimpin orkestra dengan repertiore lagu-lagu pilihan yang merupakan ciptaan dan gubahan yang telah mengangkat namanya dalam dunia muzik.

Beliau dimaksudkan pemilik nama Dato’ Johari Salleh yang menjayakan rakaman Konsert Maestro Dato’ Johari Salleh yang berlangsung dengan meriahnya pada pertengahan bulan Disember lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Konsert Maestro Dato' Johari Salleh 2

Konsert Maestro Dato’ Johari SallehTemui Penonton Pada 7 Februari 2015, pukul 9.00 Malam di TV2

Konsert diterbitkan Ashidah Abd Hamid, Unit Hiburan TV RTM ini bakal menemui penonton pada 7 Februari depan, pukul 9.00 malam di TV2.

Persembahan konsert anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dengan kerjasama Orkestra Kuala Lumpur (OKL-DBKL) ini nyata berjaya mencapai matlamatnya sebagai penghargaan kepada Johari atas sumbangan dan perkhidmatannya di RTM sebagai Pengarah Muzik RTM kedua pada 1976 selepas tertubuhnya Orkestra RTM.

“Bukan semua ahli muzik memperoleh kesempatan begini. Penglibatan dan penerapan yang ditonjolkan UM ini secara tidak langsung memberi pendedahan secara realiti industri muzik tanah air terutama buat pelajarnya,” kata Johari.

Sebanyak 12 lagu dipersembahkan pada konsert berkenaan dengan iringan tiga penyanyi pilihannya, Johana Johari, Nassier Wahab dan Alyah.

Lagu-lagu Berdebar Rasa Hati dan Papaku dipersembahkan oleh Johana sementara Alyah menyanyikan lagu Kau Yang Terindah dan Hati Lebur Jadi Debu. Penyanyi Nassier Wahab pula mendendangkan Dunia Ku dan Gadis Kota serta berduet dengan Johana menerusi lagu Kata Sepakat.

Sebanyak tiga buah lagu lagi dipersembahkan secara instrumental dalam bentuk simfoni orkestra iaitu Overture Simfonietta Cempakasari dan Ilusi Sekapur Sireh dan Tari Tualang Tiga.

artis undangan Nassier Wahab, Alyah dan Johana Johari

Latar Belakang

Dato’ Johari Salleh merupakan seorang maestro muzik yang cukup terkenal di Malaysia pada era 70an dan 80an. Beliau dilahirkan pada 9 Februari 1940 di Geylang, Singapura. Anak lelaki kepada keluarga Mohd Salleh Bin Mohamad berasal dari Melaka dan Puan Munarah Shuib, berasal dari Singapura.

Beliau mula belajar muzik dan menggubah lagu daripada ayahnya sendiri serta dari seorang guru muzik bernama Saaban Saliman. Pada tahun 1968 Johari Salleh mendapat Diploma in Music (Composition and Arrangement) daripada Berklee College of Music, Boston, USA. Sebahagian besar daripada kerjaya muzik beliau tertumpu di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM). Bermula sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada tahun 1961, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM pada tahun 1976.

Pada tahun 1983 beliau meninggalkan RTM dan menjadi Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn Bhd sehingga tahun 1986. Seterusnya beliau menjadi Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2001-2004). Kemudian beliau berkhidmat sebagai Felo Tamu Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 2004 hingga 2008. Pada masa sekarang Dato’ Johari Salleh berkhidmat sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

Beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfonik untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar seperti dari Sepanyol, Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra. Beberapa karya simfoni Dato’ Johari Salleh pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra.

Di antara sumbangan beliau di dalam lagu-lagu tanahair adalah lagu UMNO `Bersatu Bersedia Berkhidmat’ (1986), serta lagu-lagu komersial untuk penyanyi popular era 70-an dan 80-an seperti Tan Sri S.M. Salim, Suhaili Shamsuddin, Frankie Cheah, M Rizal, Yasmin Yusuff, Herman Tino, Hanafiah Yunus, Shidee dan Rahimah Rahim.

Pada 9 Ogos 2010, Dato’ Johari Salleh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) di sesi kelima Majlis Konvokesyen UKM ke-38 oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Konsert Maestro Dato' Johari Salleh

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tam Spider Terkilan Dengan AJL29

Kumpulan K-Pop 2AM Tiba di KLIA Untuk Party of the Century