in

Alyah Akui Ramli MS Rajin Memasak

Jika lazimnya kebanyakan muslim di negara ini memilih untuk membeli juadah berbuka puasa di mana-mana bazar Ramadan ataupun memasak di rumah. Namun, pada tahun ini penyanyi, Datin Alyah dan keluarganya memilih menjadikan amalan berbuka puasa di masjid sebagai rutin sepanjang Ramadan.

Menurutnya, ketika ini dia memperlahankan aktiviti seni untuk mengambil peluang berpuasa bersama keluarga sekaligus memperbanyakkan ibadah seperti solat Terawih di masjid.

“Setelah hampir sembilan tahun setiap kali bulan puasa jadual saya tetap sibuk dengan aktiviti seni tetapi pada tahun ini, saya relaks sikit dan memperlahankan aktiviti seni. Saya mahu ambil peluang sebanyak mungkin untuk menjalani ibadah puasa dan berterawih bersama keluarga.

“Ibu dan ibu saudara saya akan berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah dalam minggu ini. Jadi, sementara mereka kini berada di rumah, saya memang banyak meluangkan masa dan sama-sama mengambil keberkatan bulan yang mulia ini.

“Kalau berbuka, kami sekeluarga biasanya akan berbuka di masjid. Sebenarnya, amalan berbuka di masjid saya pernah lakukan ketika kanak-kanak dulu.

“Selain itu, saya juga pernah rasai pengalaman berbuka di Masjidil Haram ketika ke Tanah Suci beberapa tahun lalu.

“Bila kita berbuka di masjid ia menjadi satu pengalaman berbeza dan menyeronokkan. Tidak kira siapa atau apa status kita, apabila waktu ambil juadah dan duduk untuk berbuka semuanya dilayan sama dan ini dapat mengeratkan silaturahim anatara satu sama lain.

“Selepas berbuka kita boleh terus tunaikan solat jemaah Mahgrib dan Terawih beramai-ramai. Jadi, pada tahun ini tidak sangat pergi ke bazar Ramadan sebab memang menjelang mahgrib, saya bersama suami dan ibu juga ibu sauadara saya akan ke masjid berdekatan rumah kami,” katanya ketika ditemui Malaysian Digest baru-baru ini.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Sesal Separuh Nyawa ini, ketika bersahur pula suaminya Datuk Ramli MS orang yang paling rajin memasak juadah untuk mereka sekeluarga seperti menu ikan bakar, asam pedas dan sebagainya.

“Saya memang kena bersahur sebab saya ada gastrik, jadi kena makan tetapi suami saya yang akan masak juadah sahur. Lagipun, dia agak cerewet kalau bab makan sebab dia nak makanan yang masak di rumah dan dia memang rajin memasak.

“Kalau makanan yang kita beli di kedai apatah lagi bazaar, dia tidak suka. Kalau dia nak pun juadah seperti mutabak Singapura, itu pun kena pergi beli di Singapura manakala kalau nasi beriani gam kena beli di Batu Pahat.

“Jadi, memang selalunya dia ambil tugas masak untuk kami sekeluarga dan saya dengan bangganya akan ambil tugas mencuci pinggan,” tuturnya sambill tertawa kecil.

Sumber: Malaysian Digest

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Freddie Fernandez Dakwa Diana Johor Berbohong

Sinopsis Filem CCTV Lakonan Aeril Zafrel