in ,

Al-Manna Lancar Video Muzik Lagu Raya SIMFONI AIDILFITRI

Pada hari ini, Jumaat yang mulia penuh barakah, kumpulan nasyid remaja Al-Manna telah pun melancarkan sebuah lagi video muzik terbaharu mereka berjudul SIMFONI AIDILFITRI. Video muzik ini dilancarkan pada jam 12 tengah malam semalam adalah bersempena dengan kedatangan hari lebaran Aidilfitri yang mulia bakal disambut tidak lama lagi.

Budiey sudah pun menonton video muzik SIMFONI AIDILFITRI. Ternyata gaya penyuntingan yang kemas serta suasana hari raya digambarkan dengan penuh meriah dengan berlatarkan sebuah kampung. Tahniah buat Al-Manna, semoga dengan video muzik ini memberikan impak dalam memeriahkan suasana hari raya pada tahun ini dan tahun akan datang.

Al-Manna Lancar Video Muzik Lagu Raya SIMFONI AIDILFITRI

Video Muzik Simfoni Aidilfitri merupakan gabungan idea Al-Manna dan JuxtaPose Production. Elemen-elemen positif yang terdapat di dalam budaya masyarakat kita ketika membuat persiapan hari raya dan berhari raya cuba diketengahkan sebaik mungkin supaya aktiviti itu bukan sekadar budaya malahan memiliki nilai-nilai mahmudah yang dianjurkan Islam.

Hal ini dapat kita lihat pada semua aktiviti yang terdapat di dalam video muzik tersebut. Sebagai contoh, aktiviti gotong royong dan memasak juadah hari raya merupakan budaya yang sangat popular dan telah lama diamalkan dan diwarisi dari generasi ke generasi. Hal ini bertepatan dengan hadis nabi;

“Seseorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya dizalimi oleh orang lain. Barangsiapa yang memenuhi keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barangsiapa yang melepaskan sesuatu kesulitan saudaranya, maka Allah akan melepaskan salah satu kesulitan di hari kiamat dan barangsiapa yang menyembunyikan keaiban seorang muslim lain, maka Allah akan menyembunyikan keaibannya di hari kiamat “. (Muttafaq Alaih)

Selain itu, budaya bertandang ke rumah keluarga dan rakan taulan juga merupakan budaya masyarakat kita yang tak lapuk dek zaman sebagai wahana mengeratkan silaturrahim sesama kita. Sifat mahmudah ini sangat dituntut Islam sebagaimana firman Allah SWT;

“Sesungguhnya mukmin itu bersaudara.” (al-Hujurat: 10)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda;

“Tidak beriman seseorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Budaya memberi ‘ang pow’ atau duit raya semasa hari raya sudah tidak dapat dipisahkan lagi dengan masyarakat kita. Amalan ini dikira sebagai bersedekah meskipun adakalanya ianya sekadar dilihat sebagai suatu amalan turun temurun. Seperti yang termaktub di dalam Surah al-Baqarah ayat 215;

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

Semoga dengan kelahiran video muzik ini menjadi perangsang kepada yang menonton untuk terus istiqamah melakukan amalan-amalan yang memiliki nilai positif ini berpaksi syariat Islam sebagai pemurni. Insya Allah.

Al-Manna Lancar Video Muzik Lagu Raya SIMFONI AIDILFITRI

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kevin Zahri Tidak Bersenam di Bulan Puasa

Anak Fasha Sandha Larikan Diri