in

Aleeza Kassim Buat Comeback Dalam Filem PARADOKS

Pelakon dan model, Aleeza Kassim yang telah lama menyepi dari dunia seni sejak bercerai pada 2010 kini kembali berlakon. Memetik dari laporan berita MalaysianGazette, heroin yang pernah menimbulkan kontroversi menerusi filem Panas ini muncul semula baru-baru menerusi filem Paradoks.

Untitled

Filem itu merupakan kesinambungan filem XX Ray dan XX Ray II. Kali terakhir wanita berusia 44 tahun itu berlakon filem menerusi Susuk pada tahun 2007.

“Memang rasa kekok pada mula bila sudah lama tidak berlakon. Apa yang kelakar, bila sampai di lokasi penggambaran, saya yang bagi salam kepada semua orang,” katanya yang terlibat selama 10 hari di set penggambaran Paradoks.

Ditanya samada dia akan terus aktif berlakon drama pula, Aleeza berkata dia tidak sanggup melihat wajahnya di kaca televisyen. Apatah lagi, tawaran berlakon drama yang diterimanya kebanyak watak datin yang memiliki anak yang hampir sebaya dengan usianya.

“Nanti tidak habis-habis kontroversi. Dulu watak wanita seksi dan penggoda kini dapat tawaran datin agresif pula. Kalau watak seorang ibu yang miliki anak-anak masih kecil okey lagi. Ini watak datin dan ada anak yang hampir sebaya dan boleh bercinta,” katanya ketawa.

Bercerita tentang watak dalam Paradoks, Aleeza berkata dia masih memegang watak sebagai saintis seperti XX Ray dan XX Ray II.

XX Ray yang diterbitkan pada tahun 1992 pernah menjadi fenomena apabila dilihat sebagai satu karya revolusi dalam perfileman negara.

Ia berkisarkan tentang Amir lakonan Aziz M. Osman yang bertukar menjadi halimunan dan terpaksa mencari penawar bersama rakan-rakannya.

Antara pelakon yang pernah membintangi XX Ray ialah Faizal Hussien, Edika Yusof, Nor Aliah Lee dan Datin Sharmaine Farouk.

XX Ray II muncul hampir tiga tahun kemudian dengan menampilkan Ida Nerina, Lydiawati dan Azmil Mustapha. Ia berkisarkan tentang pengembaraan Amir dan kawan-kawan ke tamadun kesultanan Melaka.

Sementara itu, Aleeza dan pasangannya, Datuk Mohd. Fauzi Che Rus bercerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 27 Oktober 2010 dan mereka tidak dikurniakan anak.-

Sumber: MalaysiaGazette

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelakon Syatilla Melvin Kini Bertudung

Double Digit Growth In Passengers Carried