in ,

Aishah Menang Ganti Rugi Am Kes Saman EMI

PETALING JAYA: Selepas 10 tahun, akhirnya kes saman penyanyi Aishah terhadap syarikat rakaman EMI (M) Sdn. Bhd. atas dakwaan memungkiri perjanjian selesai didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Keputusan yang memihak kepada Aishah, 44, atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin selaku plaintif, disambut dengan nafas lega dan rasa kesyukuran.

Aishah

“Walaupun saya tidak dapat ganti rugi seperti yang dituntut, setidak-tidaknya saya dapat menuntut ganti rugi am dan lain-lain kos perbicaraan yang akan ditentukan kemudian. Kejayaan ini begitu bermakna kepada saya kerana susah payah saya selama bertahun-tahun. Saya naik turun mahkamah begitu lama….bayangkanlah, sampai anak saya pun dah besar,” jelas Aishah dalam satu perbualan telefon sejurus selepas melangkah keluar dari mahkamah.

Aishah, memfailkan saman tersebut pada 6 Disember 1999, dan beliau telah diwakili peguam Hasnal Rezua Merican. Dalam pernyataan tuntutan terpindanya, penyanyi menuntut ganti rugi RM406,000, ganti rugi am bagi melanggar kontrak, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa defendan telah memungkiri kontrak antara kedua-dua pihak.

Selain perintah injunksi, Aishah menuntut perintah supaya EMI menyerahkan semua album dan artikel yang mencerobohi hak ciptanya yang kini berada dalam milik syarikat berkenaan. Kes saman itu pernah dibatalkan pada 2 November 2004 selepas Aishah gagal hadir untuk pendengaran kes tersebut. Bagaimanapun pada 3 Ogos 2005, Hakim Tee Ah Sing telah membenarkan permohonan Aishah untuk menghidupkan semula saman dan pernyataan tuntutan terpinda.

EMI dalam pernyataan pembelaannya pula menafikan dakwaan Aishah dan mengemukakan tuntutan balas membabitkan ganti rugi sebanyak RM93,071.66 daripada penyanyi tersebut.

“Yang penting, semuanya dah selesai dan saya boleh teruskan kerja saya macam biasa. Selama 10 tahun kes ini berjalan, saya mengalami banyak kerugian. Perjalanan kerjaya saya juga turut terjejas disebabkan kes ini. Saya tidak menyangka yang mahkamah akan buat keputusan hari ini. Nak jadi cerita sebelum saya ke mahkamah pagi tadi, tayar kereta saya pula pancit…,” jelas ibu tunggal kepada dua orang anak – Arman Azhari, 13 dan Azhad Ahlami, 7.

Menurut Aishah, dia akan membuat kenduri kesyukuran sedikit masa lagi untuk meraikan kejayaannya.

“Saya benar-benar rasa lega kes ini sudah berakhir. Ini bukan soal wang ringgit tapi soal prinsip. Saya tidak suka hak saya sebagai artis diperlekehkan…,” jelas Aishah yang kini bernaung di bawah syarikat Sony-BMG Records.

Penyanyi berusia 41 tahun ini memfailkan saman terhadap EMI (M) Sdn Bhd kerana masalah yang berlanjutan dari pembatalan program promosi album Hari Raya “Pulanglah Perantau.” EMI mendakwa penyanyi Aishah enggan mengikuti jadual di televisyen 11 tahun lalu telah menjejaskan nama syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn Bhd, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu Selasa. Bagaimanapun, Aishah berkata, dia telah menghantar memo menyatakan keengganannya melakukan promosi itu memandangkan album hari raya itu masih belum siap dan gambar album belum diambil.

“Sekarang saya dah boleh tutup buku lama dan buka buku baru. Lepas ni boleh lah saya tumpukan pada promosi lagu single saya ‘Yang Hanya Ada Kenangan’ (ciptaan Azlan Abu Hassan),” jelas penyanyi yang meniti populariti dengan lagu ‘Janji Manismu.’

Aishah, masih menaruh harapan lagu barunya itu akan mendapat tempat di hati peminatnya walaupun lenggok lagu kali ini agak berbeza dari lagunya yang dulu.

“Ramai yang kata lagu ini kurang menyengat berbanding lagu-lagu sebelum ini tapi saya sengaja memilih lagu seperti ini kerana ingin mencuba sesuatu yang baru. Saya hendak sesuatu yang berbeza dan ini lah hasilnya. Tapi apa yang saya risau bila ramai yang tidak dapat meneka lagu itu lagu saya. Saya harap selepas lagu ini selalu dimainkan di radio, orang boleh terima lagu ini,” kata Aishah yang masih aktif dengan perniagaan kraf tangannya. – [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

One Young World

Nabil, Zizan Buat Lawak Dalam Redah Kasi Pecah