in

AirAsia Anjur QPR Coaching Clinic Tour 2014

Program AirAsia-QPR Coaching Clinic Tour 2014 kini berada di Malaysia selepas Thailand dan China, di mana para jurulatih professional daripada program komuniti QPR, ‘QPR in the Community Trust’ , memberikan tunjuk ajar, nasihat pakar dan inspirasi kepada bakat-bakat muda bolasepak di rantau ini.

Anak-anak kepada para perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah terpilih sebagai kelompok pertama untuk menjalani program ini di Malaysia bagi 2014. Bakat-bakat muda dari umur 13-17 telah diberikan peluang untuk menyertai program ini, diselia oleh para jurulatih daripada program komuniti kelab bolasepak tersebut.

Diadakan di Kompleks Sukan Kementerian Pertahanan (Kementah) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, sesi klinik bolasepak AirAsia-QPR yang pertama diadakan di Malaysia ini telah dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun; Panglima Logistik Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Pahlawan Mohd Razif Hj Idris; Ketua Staff Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Mazlan Kasap dan Ketua Pegawai Eksekutif QPR in the Community Trust, Andy Evans.

Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Kami bangga kerana dapat menganjurkan AirAsia-QPR Coaching Clinic Tour buat musim yang kedua tahun ini, bermula dari Thailand, China dan kini di Malaysia.

Melalui usaha bersama ini, kami ingin mencari bakat-bakat baru kurang mendapat perhatian yang sepatutnya, memberikan mereka pengalaman menjalankan latihan secara profesional dan memberikan inspirasi untuk mereka mengejar impian, dengan mempersiapkan diri mereka dengan keupayaan dan keyakinan untuk memaksimakan potensi diri.”

Bakat-bakat baru di rantau ini akan mendapat manfaat daripada program ini, melalui tunjuk ajar para jurulatih QPR yang berpengalaman tinggi dan tahap latihan skil bolasepak yang maju, bakal menjadikan mereka pemain yang lebih baik dan menjadi aset berharga dalam permainan tersebut.

“Klinik bolasepak ini dianjurkan sebagai sumbangan kami terhadap sukan bolasepak di Malaysia. Tambahan lagi, sesi hari ini adalah istimewa. Sebagai tanda penghargaan kepada para perajurit ATM atas segala pengorbanan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara, klinik bolasepak ini diadakan khas untuk mengenalpasti dan memupuk bakat bolasepak di kalangan anak-anak ATM, menyediakan peluang kepada mereka untuk mencapai impian sebagai pemain yang berkaliber. Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia atas segala sokongan yang diberikan,” tambah Datuk Kamarudin Meranun.

Para peserta klinik latihan itu telah diperkenalkan dengan aturan latihan yang dipraktikkan oleh kelab bertaraf profesional bagi menaikkan tahap skil dan kecekapan di atas padang seperti kendalian bola, teknik lorongan dan rembatan serta aspek taktikal lain permainan bolasepak. Para pemain ini diajar pelbagai teknik dan skil, serta bagaimana menggunakan segala pengetahuan itu di dalam permainan sebenar.

Andy Evans berkata, “Kami berasa amat gembira dan teruja dapat kembali ke Malaysia buat tahun yang kedua berturut-turut. Kami baru menjalani program jelajah yang telah membawa kami ke Thailand dan China. Kini tiba giliran Malaysia dan anak-anak mudanya untuk mempamerkan bakat masing-masing kepada para jurulatih QPR. Ia merupakan penghormatan bagi kami untuk menjalankan program ini bersama anak-anak para perajurit Malaysia.

“Sebelum kami mula menjelajah Asia Tenggara, baru-baru ini kami memberi penghormatan kepada para perajurit terutamanya yang terlibat dalam perang dunia pertama. Kami berasa bangga kerana dapat mencurah bakti kepada para perajurit Malaysia dengan menyediakan aktiviti menyeronokkan buat anak-anak mereka. Kami pasti bahawa terdapat bakat-bakat yang membanggakan di kalangan mereka, dan salah seorang yang terbaik akan dijemput untuk datang ke London dan meluangkan masa seminggu bersama QPR.”

Selain berkongsi pengalaman dengan bakat tempatan, siri klinik kejurulatihan ini juga akan memilih calon-calon yang terbaik untuk meluangkan masa bersama kelab QPR. Pada akhir setiap sesi, para jurulatih akan memilih pemain yang terbaik bagi hari tersebut, di mana seorang ‘pemain terbaik keseluruhan’ akan mendapat peluang untuk melawat Loftus Road di London, berjumpa pasukan pertama QPR dan meluangkan masa sehari di akademi kelab tersebut.

Ini adalah untuk membolehkan mereka merasai pengalaman rutin seorang pemain professional dan peluang untuk mempelajari selok-belok permainan bolasepak daripada pemain senior QPR, di mana mereka akan didedahkan kepada aspek-aspek penting bolasepak bertaraf profesional.

Program ini merupakan lanjutan kepada program yang sama yang diadakan tahun lepas, di mana lapan peserta terbaik telah memenangi peluang untuk berkunjung ke London dan merasai pengalaman bersama QPR selama tujuh hari.

AirAsia telah terlibat dengan pelbagai inisiatif pembangunan sukan bagi manfaat para belia, dengan menyediakan peluang serta platform untuk mencapai kecemerlangan dan mengenali kebolehan serta potensi diri. Sepanjang penglibatannya dalam sukan, AirAsia telah membolehkan ramai atlet mencapai impian untuk bertanding di peringkat tinggi dalam bidang sukan.

QPR Coaching Clinic Tour 2014 ini merupakan usahasama berterusan kelab bolasepak itu bersama AirAsia, penaja rasmi bagi jersi Queens Park Rangers FC.

Penaja rasmi AirAsia-QPR Coaching Clinic 2014 adalah Tune Insure dan Nike.

Bagi mengetahui perkembangan AirAsia dan juga perihal promosi, aktiviti serta peraduan, ikuti syarikat penerbangan itu di Twitter (twitter.com/AirAsia) atau Facebook (facebook.com/AirAsia).

Ikuti @QPRTrust dan lawati www.qpr.co.uk bagi mendapatkan liputan menyeluruh program AirAsia-QPR Coaching Clinic.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Final Akademi Fantasia 2014 Trending di Youtube Malaysia

Drama Bersiri Couture Cinta Lakonan Sara Ali