in

Adik-Adikku Musim Ke 2 Kembali di TV1

PROGRAM ADIK-ADIKKU MUSIM KEDUA BAKAL KEMBALI DI TV1

Rancangan “Adik-Adikku” yang telah bersiaran pada 18 Mac 2010 telah mencetuskan satu fenomena baru dalam penerbitan program realiti TV tempatan. Paling membanggakan apabila program berkenaan telah merekodkan jumlah hampir sejuta penonton sekaligus meletakkan “Adik-Adikku” sebagai program paling popular di TV1 bagi minggu ke 11 tahun 2010. Rancangan ini juga telah mendapat liputan yang meluas daripada pihak media dan pelbagai komen positif diterima daripada kalangan penonton melalui paparan komen dalam akhbar-akhbar harian.

Atas sambutan hangat tersebut dan bagi memenuhi permintaan penonton, JAKIM dengan kerjasama RTM telah meneruskan pencarian bakat “Adik-Adikku” bagi musim kedua. Program ini dilihat sebagai program alternatif kepada kanak-kanak yang tidak berkonsepkan hiburan semata-mata, ia juga terbukti mampu mencungkil bakat, karisma, kepimpinan dan membentuk keyakinan diri peserta melalui persembahan mereka di pentas “Adik-Adikku”. Generasi muda hari ini sewajarnya dididik dengan sifat Rasulullah SAW semasa zaman kanak-kanak dan remaja yang sangat mulia dan berwibawa sekaligus dijadikan idola kanak-kanak hari ini.

Objektif rancangan ini adalah untuk memaparkan karisma kanak-kanak, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri kanak-kanak serta dapat mendorong membentuk jati diri dan istiqomah dalam kepimpinan kanak-kanak.

Sesi ujibakat “Adik-Adikku” Musim Kedua telah dijalankan di 14 lokasi di seluruh negara. Peserta-peserta ujibakat yang dibuka kepada peserta berumur 8 hingga 12 tahun dinilai oleh juri di lokasi daripada segi kepetahan berpidato, bertarannum, mengalunkan azan (bagi peserta lelaki) dan bernasyid. Ada peserta yang menampilkan kelainan dengan membuat persembahan seperti berzanji, marhaban, dan kalam jama’ie dalam menambat hati juri.

Program “Adik-Adikku” Musim Kedua ini masih meneruskan konsep musim pertama iaitu berkonsepkan hiburan, pendidikan dan riadah. Persembahan pidato yang ditugaskan kepada setiap peserta perlulah memenuhi elemen berikut iaitu mempunyai mesej yang disampaikan mengikut tema yang ditetapkan, jelas, persembahan gaya yang menarik dan terpulang kepada kebijaksanaan setiap Murabbi untuk mengasah bakat yang ada pada setiap peserta dan menggunakan kebolehan peserta yang ada untuk tampil berada di pentas “Adik-Adikku”.

Setiap pertandingan mempunyai penyingkiran peserta dan yang membezakan “Adik-Adikku” dengan program realiti lain adalah peserta yang tersingkir dibenarkan untuk mengikuti semua aktiviti sepanjang di akademi sehingga tamat akademi.

Manakala, bagi aktiviti riadah pula, peserta didedahkan dengan 3 aktiviti yang sering diamalkan Rasulullah SAW iaitu berkuda, memanah dan pada musim kedua ini ditampilkan aktiviti berenang, sekali gus melengkapkan 3 aktiviti amalan Rasulullah SAW. Para peserta juga dibawa melawat tempat-tempat tertentu bagi memberi pendedahan kepada peserta.

Bagi program kali ini, peserta yang terpilih ke Akademi Adik-Adikku di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bermula 27 November 2010 hingga 25 Disember 2010 akan dikumpulkan selama hampir sebulan dengan kelengkapan penuh dan akan wajib mengikuti kelas pembelajaran melalui kurikulum yang telah diwajibkan sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

Hasil ujibakat di 14 lokasi seluruh negara, seramai 16 orang peserta yang berbakat telah dipilih sebagai “Adik-Adikku” Musim Kedua ini iaitu peserta lelaki / Da’ie terdiri daripada Muhammad Ammar Mukhlis Abd Mohsin, Muhammad Amirul Munir Azlin, Zaid Najmudin Zul Akmal, Muhammad Abdussalam Mohd Nidzomuddin, Isma Amirrul Ismail, Khair Najmi Mohd Khair, Amir Hamzah Hizir dan Muhammad Zakiy Najdee Shahirul.

Manakala peserta perempuan / Da’ie pula adalah Siti Nur Alia Safri, Normarina Misuari Baharodin, Syafiqah Fasiha Ahmad Safri, Iffah Ahmad Hilmi, Raudhatus Syamimi Harun, Najahatus Solehah Rapihi, Amira Nursyahira Azli dan Nurjannati Syakirin Ramli.

Akademi “Adik-Adikku”akan diketuai oleh seorang Ra’es selaku pengetua, Farihin Abdul Fattah dan 4 orang Murabbi terdiri daripada Ustaz Zamri Zainuldin, Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah, Ustaz Badrul Sani Baharudin dan Ustazah Asni Abu Mansor yang membimbing peserta-peserta yang terpilih ke pusingan akhir.

Setiap Murabbi akan diberi 4 orang Da’ie untuk dididik, diasuh, diasah bakat mereka bagi pertandingan ini. Pertandingan pidato akan diadakan di Studio Media JAKIM, Putrajaya, pengacara bagi pertandingan ini ialah Mohamed Noor Mohamed Yusof dan akan bergandingan dengan peserta Adik-Adikku musim pertama. Seperti musim pertama, pertandingan pidato ini akan diadili gandingan juri profesional daripada pelbagai bidang bagi melengkapkan penjurian dan keputusan juri adalah muktamad. Juri akan memberikan komen untuk setiap persembahan mereka semasa pertandingan berlangsung.

Program DIARI pula dikendalikan oleh 4 peserta “Adik-Adikku” musim pertama. “Adik-Adikku” Musim Kedua ini amat istimewa berbanding dengan musim pertama kerana penonton dapat melihat sendiri penglibatan dan bakat peserta “Adik-Adikku” musim pertama kerana mereka terlibat secara langsung dalam program ini. Segmen Diari ADIK-ADIKKU akan memaparkan aktiviti harian yang berlaku kepada peserta “Adik-Adikku” daripada aktiviti kurikulum, riadah, lawatan sehingga persiapan menghadapi pertandingan. Program “Adik-Adikku” ini bakal disiarkan di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

NCIS: LA di 8TV

Ghost Catcher Legend Of Beauty di 8TV