in

Ada Sebab Ajai Terpaksa Bedah Hidung

Selama berbelas tahun menghadapi masalah sinus, akhirnya komposer dan penyanyi Ajai kini berasa lega kerana masalah yang ditanggungnya itu dapat diatasi selepas selamat menjalani pembedahan hidung pada Oktober tahun lalu.

Walaupun begitu akibat kesan pembedahan tersebut, beritahu Ajai, ada ketikanya beliau akan berasa sakit pada bahagian hidung dan telinga. Kesakitan itu akan ditanggung sekurang-kurangnya dalam masa setahun ini sebelum beliau benar-benar pulih sepenuhnya.

Ajai ditemubual media semasa ditemui pada sidang media prorgram ‘Jemput Masuk, Chef’, bertempat di Talent Lounge, PJ Trade Center, Damansara Perdana, semalam.

“Dah berbelas tahun saya menghidapi masalah sinus. Hinggalah pada satu hari apabila saya bangun daripada tidur saya dapati telinga sebelah kiri saya tidak boleh mendengar apa-apa. Isteri saya terus bawa saya berjumpa doktor dan saya disyorkan untuk menjalani pembedahan segera.

“Menurut doktor, gegendang telinga saya sudah rosak akibat sinus yang sudah terkumpul selama ini. Jika saya tak buat pembedahan itu saya akan pekak. Saya bersetuju kerana kerja-kerja saya banyak bergantung pada pendengaran saya. Jika saya tak boleh mendengar dengan baik, bagaimana saya mahu teruskan bekerja.

“Gegendang telinga saya dibuang dan digantikan dengan tiub. Saya menerima sebanyak 19 jahitan di bahagian telinga dan 21 jahitan di bahagian hidung. Selama sebulan saya terlantar di hospital. Sekarang ni saya lega tapi ada ketikanya saya berasa sakit terutama pada bahagian telinga. Menurut doktor kesakitan tu akan berpanjang selama setahun.”

Berhabis sebanyak RM28,000 untuk pembedahan tersebut, tegas Ajai lagi, beliau tidak ambil peduli dengan pandangan masyarakat andai ada yang beranggapan negatif tentang hidung barunya kerana semua itu dilakukan demi kesihatan dirinya bukan semata-mata kecantikan.

Ajai

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Komedi Cici & Roy Lakonan Fouziah Gous & Ungku Ismail

Ajai & Chef Kamarul Jadi Hos Jemput Masuk Chef