in ,

Acong Sweetchild Dapat Imuniti Sebab Persembahan Konsisten

Perjalanan Acong Sweetchild untuk meneruskan cabaran dalam Konsert Gegar Vaganza musim kedua (GV2) ternyata masih panjang apabila mendapat imuniti daripada penaja utama selepas diumum tersingkir pada saingan suku akhir, sebentar tadi.

Pada konsert yang bertemakan RockDut di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim selaku juri tetap serta pengarah tersohor, Mamat Khalid sebagai juri jemputan memilih Acong kerana gagal menyanyikan lagu diberikan kepada beliau dengan baik.

Bagaimanapun, Datuk Seri Vida selaku penaja utama program GV2 memilih untuk menggunakan kuasa imuniti dengan nasihat barisan juri tetap, menyerap semula Acong untuk membolehkannya melangkah ke peringkat separuh akhir.

Tujuh penyanyi popular tanah air iaitu Nassier Wahab, Ezad Lazim, Acong, Haiza, Siti Nordiana, Azian Mazwan dan Faradhiya berjaya memukau 1,000 penonton yang hadir memberikan sokongan kepada bintang pilihan mereka. Bintang-bintang GV2 diuji dengan diberikan cabaran untuk menyanyikan lagu-lagu popular penyanyi lain yang diletakkan di dalam senarai permintaan mereka.

Musim kedua program realiti itu mendapat sambutan hangat dari peminat dan artis-artis tempatan yang turut hadir bagi memberi sokongan kepada rakan seperjuangan mereka. Kemeriahan konsert itu setiap minggu tidak pernah mengecewakan. Gandingan pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Musa sentiasa berjaya menghiburkan penonton dengan aksi spontan mereka.

Barisan peserta GV2 yang layak ke peringkat separuh akhir pada minggu hadapan bakal meneruskan cabaran dengan tema KarokTarik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Persembahan ONE NIGHT ONLY Faizal Tahir Gegar Dewan Filharmonik PETRONAS

Yus Jambu Meninggal Dunia