in

Abby Abadi Rawat Luka Terpendam Ke China Bersama Zulkifli Ariffin?

Sekurang-kurangnya luka di jiwa Abby terubat dengan adanya teman baru, Zulkifli Ariffin di sisi. Semoga Abby cepat sembuh dan kuatkan semangat. Biar Norman Hakim makan hati. Balas dendam la ni ek?

HULU KLANG: “Jangan salah sangka dengan pemergian kami ke keluar negara. Kami ke Guangzhou, China, minggu lalu untuk meninjau peluang perniagaan. Sudah lama saya bercadang hendak berniaga barangan fabrik dari sana. Saya bercerita dengan Abby hasrat itu, tak sangka pula dia berminat,” ulas Zulkifli Ariffin, 23, atau Zul Ariffin, mengenai pemergiannya bersama Arbaeyah Abdul Manan, 31 atau Abby Abadi ke China, baru-baru ini.

Menurutnya, jika ada yang menuduh dia dan Abby pergi bersuka ria di sana, di tanah air pun mereka boleh berbuat demikian.

“Tidak perlu pergi sampai ke luar negara. Tetapi kami pergi ke Guangzhou untuk meninjau peluang perniagaan. Baru hendak tengok barang apa yang boleh diniagakan, kualiti barangan dan harganya. Di sana terlalu banyak pilihan. Saya tak berani hendak cakap lebih mengenai hasrat kami kerana baru pada peringkat merancang. Tak tahu bila perniagaan itu akan dimulakan,” katanya yang ditemui pada pelancaran filem Evolusi KL Drift 2 di Finas di sini, semalam.     

Katanya, dia dan Abby ditemani abang angkat dan seorang rakan yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan di Guangzhou. Mereka ke sana selama enam hari iaitu 16 hingga 22 Januari lalu.

“Bagaimanapun, kami balik berdua kerana abang angkat dan rakannya meneruskan perjalanan ke Beijing dan Hong Kong untuk melihat barangan fabrik lain,” katanya yang terpaksa balik dulu bersama Abby. Ini kerana dia perlu menghadiri pelancaran filem Evolusi KL Drift 2 hari ini (semalam) manakala Abby pula menyambung penggambaran drama.

Sebenarnya, Zul berkata, mereka ke Guangzhou langkah kiri’ kerana kedai banyak ditutup berikutan masyarakat Cina sibuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

“Kalau ada kedai dan premis perniagaan yang dibuka pun, tutup seawal jam 5 petang. Jadi saya bercadang ke sana lagi tetapi kali ini mungkin Abby tidak pergi kerana dia terikat dengan jadual penggambaran,” katanya.

Ditanya bagaimana Abby berminat menyertai perniagaan itu, jelasnya, sebelum berkenalan dengan Abby, dia memang bercadang berniaga dalam bidang fabrik. Baru-baru ini, Zul bercerita mengenai hasrat berkenaan kepada bekas isteri Norman Hakim itu yang menunjukkan minat demi masa depan anak.

“Jadi saya fikir apa salahnya, jadi kami pergi meninjau dulu jenis barangan yang boleh diniagakan di sini.  Saya tahu apabila ada pihak mengetahui kami ke luar negara pasti ada membuat tanggapan bukan-bukan. Saya tak kisah orang hendak kata kerana saya tahu niat dan apa yang saya lakukan. Kalau asyik mendengar cakap orang, saya tak akan ke mana dan hidup saya tidak akan berubah,” katanya.

Zul menyatakan tiada niat untuk menyembunyikan pemergian mereka ke China daripada sesiapa.

“Namun, masih ada yang musykil kenapa kami lewat pulang ke tanah air sehingga menyangka kami cuba mengelak daripada diketahui umum. Kami pergi dan balik mengikut tiket yang sudah ditempah dengan syarikat penerbangan, cuma ketika hendak balik jadual penerbangan tertunda dari jadual asal iaitu sepatutnya berlepas pada jam 8.45 malam dan tiba jam 12 tengah malam. Disebabkan kelewatan itu, penerbangan kami sampai pada jam 1.30 pagi semalam (22 Januari). Selepas itu terpaksa tunggu bagasi dan sementara tunggu kakak saya sampai, kami melihat-lihat barangan di kedai di balai ketibaan.

“Sebab itu kami keluar lambat dari balai ketibaan. Bukan kami sengaja menangguhkan jadual balik dan bersembunyi dengan alasan mengelak orang tahu mengenai kepulangan kami ke tanah air,” katanya. Menyentuh hubungannya dengan Abby yang semakin rapat, Zul tetap menegaskan mereka cuma berkawan. Dia juga dilihat sering memandu kereta Abby, Honda Stream putih.

“Bagi saya soal pandu kereta Abby itu perkara remeh. Saya akui ada kala saya segan dan takut mengenangkan pandangan masyarakat terhadap saya. Terfikir juga alangkah bagus jika kerjaya saya menjadi fokus utama. Tetapi kerana saya memilih menjadi anak seni, terpaksalah terima. Selagi saya berada dalam dunia glamor, selagi itulah orang akan bercakap mengenai saya. Kini saya semakin lali dengan kata-kata orang,” katanya.

Dia kini terpaksa menerima hakikat kesannya apabila menjadi orang dikenali, termasuk cerita baik atau sebaliknya.

“Namun, tanpa publisiti orang tidak tahu kewujudan saya dalam bidang seni,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program TV Menarik Sempena Tahun Baru Cina di TV3

WISHING YOU A PROSPEROUS CHINESE NEW YEAR ONLY ON 8TV!