in

10 Finalis di Sesi Pencarian Nona Manis TV3

Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, program majalah wanita terbitan TV3, NONA yang memaparkan isu-isu wanita berkaitan fesyen, kecantikan dan kekeluargaan menjadi sumber rujukan dan teman setia kepada penonton wanita. Bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-30, NONA telah memperkenalkan segmen istimewa, ‘Nona Manis’ yang bertujuan menampilkan gadis-gadis muda yang jelita dan mempunyai perwatakan yang menarik.

Dari Kiri - Maryam, Maira, Jaja, Syadanar & Edora

10 FINALIS BERDEBAR MENANTI TUGASAN!
Siapakah paling menyerlah dalam aspek pengacaraan, keusahawanan dan strategi pemasaran?

Sesi Pencarian ‘Nona Manis’ telah bermula pada 12 April sehingga 26 April 2015 yang lepas. Kriteria untuk bergelar finalis Nona Manis ialah wanita yang berusia dalam lingkungan umur 21 hingga 30 tahun, berstatus bujang, mempunyai personaliti yang menarik dan mempunyai tahap pendidikan sekurang-kurangnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf dengannya. Mereka hanya perlu menghantar profil ke alamat emel [email protected] bagi saringan pertama untuk memilih 10 peserta.

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9:

“Pencarian Nona Manis ini dianjurkan dengan misi mencari satu ikon generasi muda masa kini yang mempunyai visi dan misi dalam kerjaya. Oleh itu, Pencarian Nona Manis ini membuka peluang kepada anak gadis kita yang berbakat diluar sana sebagai satu platform untuk mencapai cita-cita kerjaya mereka. Selain itu, segmen khas ini juga akan mendidik para peserta kita tentang ilmu pemasaran agar mereka faham serba sedikit tentang perniagaan, justeru meningkatkan kesungguhan mereka dalam pertandingan ini.”

“Segmen khas ini turut mendapat kerjasama daripada Aidijuma dan Blossom Box Store yang sudi menaja hadiah lumayan kepada barisan pemenang selain menaja pakaian dan tudung ketika 10 peserta menjalankan tugasan dalam beberapa episod.”

Pencarian Nona Manis telah menerima sambutan positif dengan penerimaan penyertaan lebih daripada 500 peserta dari seluruh Malaysia. Selepas saringan pertama, Pencarian Nona Manis telah memperkenalkan 10 finalis menerusi segmen ‘Nona Manis’ dalam program Nona bermula 3 Mei 2015. Mereka ialah Siti Maryam Binti Hussin (Maryam), Nurul Nabila Humaira Binti Kamaruzaman (Maira), Nurul Arifah Binti Abdul Rashid (Yuyu), Nur Syadanar Binti Mohd. Zahari (Syadanar), Nur Shaqira Edora Binti Ghaffar (Edora), Nur Rafiza Binti Abdul Talib (Jaja), Nor Azween Binti Mohd Noor (Aween), Naseha Uyaina binti Arshad (Uyaina), Fatihin Husna Binti Bahrom (Fatihin) dan Balqish Banu Binti Mohd Hussni (Balqish).

Kesemua finalis akan dicabar dengan tujuh tugasan sebelum mara ke pusingan akhir. Tugasan-tugasan yang diberikan kepada mereka bertujuan mencabar kebolehan mereka dalam dunia penyiaran, perniagaan & pemasaran dan fesyen selain sentiasa mengekalkan perwatakan dan personaliti menarik. Para penonton dapat mengikuti perjalanan mereka mulai 31 Mei sehingga 12 Julai menerusi program Nona. Hanya lima finalis terbaik akan berentap di pusingan akhir yang ditayangkan pada 2 Ogos nanti.

Group photo Pencarian Nona Manis

Tugasan pertama Pencarian Nona Manis yang akan disiarkan pada 31 Mei 2015 adalah mengenai pengalaman para finalis berguru dengan personaliti TV yang berkaliber iaitu Nurfarahin Jamsari. Puan Nurfarahin yang merupakan antara perintis program NONA telah berkongsi ilmu tentang keterampilan diri, cara penyampaian suara dengan berkesan, dan juga tips berkomunikasi dengan para penonton menerusi lensa kamera. Tugasan kedua pula menguji kemahiran para finalis dalam mempersiapkan diri dengan imej kasual, juga imej formal dengan menggunakan pakaian dan tudung yang disediakan oleh rakan penaja iaitu Blossom Box Store dan Aidijuma.

Selain itu, segmen Pencarian Nona Manis turut menampilkan personaliti TV dan selebriti seperti AG Hot FM, Fara Fauzana, Syarul Ridzwan, Fatiya Latiff dan Aliff Syukri sebagai juri jemputan.

Pemenang pertama Nona Manis bakal memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 beserta tajaan pakaian daripada Blossom Box Store dan tudung bawal Aidijuma selama setahun. Pemenang kedua pula membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta tajaan pakaian daripada Blossom Box Store dan tudung bawal Aidijuma selama setahun. Manakala pemenang ketiga akan memenangi wang tunai berjumlah RM5,000 beserta tajaan pakaian daripada Blossom Box Store dan tudung bawal Aidijuma selama setahun.

Setelah 30 tahun, keserian program NONA tidak pernah pudar walaupun pengacaranya bersilih ganti. Kini, NONA terbitan Khairol Bariah Kamaruddin dari Primeworks Studios menampilkan Fouziah Gous selaku pengacara dengan paparan enam segmen menarik pada setiap episod. Antaranya Nona Isu, Nona Inspirasi, Nona Manis, Nona Cantik, Nona Luahan Rasa, Nona Fesyen, Nona Resepsi, Gaji Dari Rumah, dan Nona Tips.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan rancangan ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

PNM - Pengasas Aidijuma, Puan Norjuma Binti Habib Mohamed, Aliff Syukri & Fatiya Latiff sebagai juri untuk tugasan 5

Syarul Ridzwan, Fara Fauzana & Jezmine Zaidan membuat penjurian untuk Pencarian Nona Manis

Tugasan 4 - strategi pemasaran (1)

Tugasan 4 - strategi pemasaran (2)

Dari Kiri - Yuyu, Balqish, Fatihin, Uyaina & Aween

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Samsung Lancar Blue Topaz Galaxy S6 & Green Emerald Galaxy S6 edge

Al-Manna Lancar AJARKAN AKU SETIA di Social Media Hari Ini